Selasa, 9 April 2019 | 4:25pm
ATLET taekwondo negara, Nur Dhia Liyana Shaharuddin (gambar kecil) diperintah mohon maaf terhadap seorang warga emas kurang upaya (OKU) atas dakwaan mencederakan lelaki itu dalam kejadian di stesen LRT Putra Heights, dua tahun lalu. - Foto BERNAMA

Atlet taekwondo negara diperintah mohon maaf

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Sivil di sini, hari ini, memerintahkan atlet taekwondo negara, Nur Dhia Liyana Shaharuddin, membuat permohonan maaf terhadap seorang warga emas kurang upaya (OKU) atas dakwaan mencederakan lelaki itu dalam kejadian di stesen LRT Putra Heights, dua tahun lalu.

Peguam, Datuk Dr S Arunan, yang mewakili Placid P Rodriguez, 71, selaku plantif, ketika ditemui media berkata Hakim Lalilatul Zuraida Harron memerintahkan Nur Dhia, 25, membuat permohonan maaf bertulis terhadap plaintif menerusi media cetak dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Arunan berkata mahkamah turut memerintahkan Nur Dhia (defendan) membayar ganti rugi am RM1,000, ganti rugi khas RM88 dan kos RM1,000 terhadap plaintif yang juga OKU separa buta dan pekak.

Sementara itu, Arunan berkata saman itu difailkan bertujuan menuntut keadilan atas kejadian terbabit.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 6 Julai 2017 setibanya di stesen Putra Heights, beliau membenarkan penumpang lain turun terlebih dulu bagi mengelakkan kesesakan tapi pada waktu itu beliau turut ditolak oleh orang lain.

Rodriguez mendakwa ketika berjalan di atas platform, tiba-tiba beliau ditolak oleh defendan sehingga menyebabkannya terkejut dan beliau yang ketika itu memakai alat bantuan pendengaran, terdengar suara perempuan memarahinya.

Plaintif mendakwa defendan menyerangnya sebanyak tiga kali di kaki kiri dan dua kali di kaki kanan serta memalukannya di khalayak ramai.

Rodriguez mendakwa beliau merayu supaya defendan berhenti menyerangnya namun tidak diendahkan oleh defendan yang terus menyerangnya tanpa sebarang rasa belas kasihan.

Akibat perbuatan defendan, plaintif mengalami kesakitan dan turut mengalami tekanan mental dan emosi serta trauma untuk keluar bersendirian kerana takut kejadian sama berulang.

Berita Harian X