Rabu, 10 April 2019 | 4:44pm
- Foto hiasan

Penolong pegawai veterinar didenda RM20,000, penjara 3 bulan

JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM20,000 dan penjara tiga bulan terhadap seorang penolong pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar kerana menerima rasuah.

Tertuduh, Mohd Razi Basar, 42, yang berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor didapati bersalah menerima rasuah bernilai RM35,000.

Hakim Kamaruddin Kamsun, menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dihadapi tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima barang berharga iaitu empat cek Maybank Islamic berjumlah RM35,000 sebagai balasan membantu Syarikat Arjuni Enterprise mendapatkan kerja kontrak pembekalan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsyarina Raizan, manakala tertuduh diwakili peguam Manian K Marappan.

Berita Harian X