Jumaat, 12 April 2019 | 9:18am

Dua ditahan selepas polis lepaskan tembakan

AMPANG JAYA: Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dalam usaha menangkap seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah dalam kejadian di Taman Melawati di sini, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan, berkata kejadian itu rentetan cubaan dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Taman Melawati menahan sebuah Honda CRV yang dilihat dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 6.15 petang.

"Dalam usahanya mengelak daripada ditahan, pemandu Honda CRV hitam itu bertindak mengundurkan kenderaannya untuk melanggar dua anggota URB terbabit sebelum cuba memecut untuk meloloskan diri.

"Anggota polis yang mengejar kenderaan suspek kemudian terpaksa melepaskan dua das tembakan iaitu sedas tembakan ke arah tayar hadapan kanan dan sedas lagi terkena pada tayar belakang kanan.

"Akibat tembakan itu, kenderaan suspek terbabas dan melanggar empat kenderaan awam yang diparkir di tepi jalan dan suspek berjaya diberkas," katanya dalam satu kenyataan, pagi tadi.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemui sebilah parang panjang, hampir 20 batang pelbagai jenis pemutar skru, dua Allen Key yang sudah diubah suai, satu topeng muka serta lima alat pemotong (cutter).

"Semakan mendapati kenderaan terbabit dilaporkan dicuri di Kepong baru-baru ini dan soal siasat turut membawa kepada satu lagi tangkapan serta rampasan sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Vellfire dilaporkan dicuri di Selayang .

"Kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 25 dan 38 tahun kini ditahan untuk tindakan lanjut dan semakan mendapati salah seorang daripadanya mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan satu rekod penjenayah dikehendaki," katanya lagi.

Beliau berkata pihaknya masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Berita Harian X