Jumaat, 12 April 2019 | 9:59am
GAMBAR fail, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika sidang media sempena Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Pusat Membeli Belah AEON AU2 Setiawangsa, 9 April lalu. - Foto BERNAMA
GAMBAR fail, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika sidang media sempena Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Pusat Membeli Belah AEON AU2 Setiawangsa, 9 April lalu. - Foto BERNAMA

Tiga penjenayah samun kedai emas diburu

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan tiga suspek yang dipercayai terbabit menyamun sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Manjalara, Kepong di sini, Rabu lalu.

Bagaimanapun, suspek tidak berjaya melarikan barang kemas berkenaan apabila terbabit dalam kemalangan di hadapan Stesen Minyak Petron di sini, selepas menyamun kedai emas itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata​​​​​​ kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dengan motosikal lain dengan bantuan seorang individu dipercayai rakan mereka.

Berikutan itu, beliau berkata polis giat mengesan ketiga-tiga suspek.

“Kejadian kemalangan ini dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan dan dash camera kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Suspek meninggalkan motosikalnya jenis Yamaha LC warna hitam merah dengan nombor pendaftaran BMA 497,” katanya dalam kenyataan.

Mazlan berkata pihaknya turut merampas sebuah beg hitam mengandungi sejumlah barang kemas (dipercayai barang kemas yang dirompak) , sebilah pisau, sepasang sarung tangan warna biru dan satu topeng muka berwarna putih.

Beliau berkata siasatan di tempat kejadian mendapati suspek masuk melalui pintu kecemasan di tingkat satu pasar raya itu dengan menggunakan pemutar skru dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2225 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X