Jumaat, 12 April 2019 | 2:38pm
Kok Chin (empat dari kanan) menunjukkan sebahagian minuman keras yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am Batu Kawa, Kuching. - NSTP/L Manimaran

2,300 kotak arak RM516,000 dirampas

KUCHING: Cubaan sindiket menyeludup minuman keras dianggarkan bernilai RM516,000 tidak kesampaian apabila dua lori membawa barang haram itu ditahan di Kilometer 90 Jalan Kuching-Sri Aman, di sini, hari ini.

Dua lori yang penuh dengan 2,300 kotak arak jenama Heineken itu ditahan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuching menerusi Op Libas pada jam 1.30 pagi.

Komander Briged PGA Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin, berkata pihaknya mengekori dua lori terbabit sejauh kira-kira 320 kilometer selepas bertindak atas maklumat risikan dan intipan.

“PGA bersama SPRM mengekori dua lori itu dari Jalan Lanang, Sibu sehingga Sungai Menyan, Serian.

“Hasil pemeriksaan terhadap lori terbabit yang berhenti di depan sebuah sekolah membawa kepada rampasan minuman keras yang disyaki akan diseludup untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kok Chin berkata, dua lori itu masing-masing membawa 1,150 kotak Heineken yang dipercayai akan diseludup dan tidak mempunyai cukai.

“Empat lelaki tempatan iaitu dua pemandu dan dua kelindan turut ditahan dalam serbuan itu.

“Semua suspek berusia 22 hingga 33 tahun ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, barang rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Individu yang disabit kesalahan akan berdepan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Berita Harian X