Sabtu, 13 April 2019 | 3:20pm
Kebakaran memusnahkan sepenuhnya kilang memproses silikon kelas A di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, malam tadi. - NSTP/Sairien Nafis
Kebakaran memusnahkan sepenuhnya kilang memproses silikon kelas A di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, malam tadi. - NSTP/Sairien Nafis

9 jam operasi padam kebakaran kilang proses silikon

SHAH ALAM: Kebakaran yang memusnahkan sepenuhnya kilang memproses silikon kelas A di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, malam tadi, berjaya dipadamkan selepas kira-kira sembilan jam operasi dijalankan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani, berkata pihaknya terpaksa mengambil masa bagi memastikan tiada lagi api di kawasan terbabit.

Malah, beliau berkata, selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6 pagi tadi, pihaknya masih menempatkan beberapa anggota di lokasi kejadian hingga tengah hari untuk memantau keadaan.

“Kerja pemadaman selesai, subuh tadi. Walaupun tiada bara api, masih ada beberapa kawasan yang berasap. Oleh itu, anggota bomba ditempatkan di situ bagi memastikan tidak ada lagi sumber yang mengeluarkan api.

“Material silikon yang ada di dalam kilang itu susah terbakar. Namun apabila ia terbakar, kerja pemadaman perlu mengambil masa.

“Malam tadi, apabila bomba memadamkan api, air digunakan itu bercampur dengan cecair terbakar dan mengalir ke kawasan lain. Api merebak sehingga keseluruhan kilang terbakar,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, punca kejadian masih belum diketahui dan pihak forensik sudah ke lokasi bagi menjalankan siasatan menyeluruh.

“Sama ada pekerja berada di dalam kilang ketika kejadian, masih tidak diketahui kerana pihak kilang belum memberikan maklumat,” katanya.

Anggaran kerugian dalam kejadian itu juga masih dalam siasatan.

Kilang berkeluasan 1.214 hektar di Jalan Perigi Nenas, Pulau Indah itu terbakar kira-kira jam 8.45 malam tadi.

Susulan itu, lebih 80 anggota bomba bergegas ke lokasi bersama tujuh jentera, termasuk daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, BBP Andalas serta BBP Kota Raja.

Operasi membabitkan 126 pegawai dan anggota bomba serta agensi lain, termasuk bomba sukarela, Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis bantuan serta Kementerian Kesihatan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X