Sabtu, 13 April 2019 | 5:47pm
PENGANJUR Gopeng Ultra Trail 2019 (GUT19), Muhammad Irwan Yusuf. - Foto Muhaizan Yahya.

Penganjur tidak lepas tangan misi mencari Acap

GOPENG: Dakwaan orang kampung mengatakan penganjur tidak bekerjasama dengan penduduk bagi penganjuran Gopeng Ultra Trail 2019 (GUT19) adalah tidak benar kerana penganjur sudah mengemukakan permohonan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkaitan.

Penganjur GUT19, Muhammad Irwan Yusuf, 39, berkata GUT19 bukan pertama kali diadakan, malah tahun ini ia sudah masuk penganjuran tahun ketiga.

Katanya, sebelum acara itu diadakan pihaknya sudah membuat permohonan kepada MPKK dan tidak ada isu mengatakan pihaknya mengetepikan kerjasama daripada orang kampung.

“Kita sudah maklumkan kepada pihak berkaitan (MPKK). Malah, ketika kehilangan Acap (Mohammad Ashraf Hassan) sejak 23 Mac lalu, penduduk kampung yang mewakili beberapa MPKK turut mencari Acap di lokasi laluan GUT19.

“Mungkin, penduduk kampung secara individu yang tidak dimaklumkan berhubung aktiviti itu menimbulkan isu ini,” katanya ketika ditemui di pusat operasi SAR di Kampung Pintu Padang di sini, hari ini.

Muhammad Irwan berkata, sejak kehilangan seorang daripada peserta GUT19 pada 23 Mac lalu, dia mewakili penganjur tidak berputus asa untuk membantu mencari Acap.

“Kita sebagai penganjur turut bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Persatuan Mencari dan Menyelamat Gunung Malaysia (MOSARS) untuk membantu pasukan penyelamat mencari Acap.

“Memandangkan dia hilang ketika menyertai aktiviti anjuran kami, jadi sebagai penganjur kita turut bertanggungjawab membantu dalam usaha SAR,” katanya.

Berita Harian X