Ahad, 14 April 2019 | 8:11pm
KEJADIAN lima individu memeriksa MPV polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, semalam, kerana mengesyaki kereta polis itu membawa kertas undi.

Tindakan 5 individu periksa kereta polis adalah kesalahan - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tindakan lima penyokong parti politik memeriksa kereta peronda polis (MPV) di Negeri Sembilan, semalam, disifatkan sebagai perbuatan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perbuatan itu adalah kesalahan mengikut Kanun Keseksaan dan tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap lima individu terbabit yang didakwa penyokong Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Timbalan Presiden PH menyerahkan sepenuhnya insiden berkenaan kepada polis untuk menyiasat kejadian pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu.

“Berhubung isu beberapa individu dikatakan penyokong PH memeriksa MPV polis ketika PRK DUN Rantau, saya ingin menyeru semua pihak supaya patuh kepada undang-undang.

“Tindakan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas adalah satu kesalahan bawah Kanun Keseksaan. Laporan polis sudah dibuat mengenai kejadian ini. Justeru, saya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang negara.

“Saya ingin mengingatkan penyokong parti politik dan orang ramai supaya mematuhi undang-undang pada setiap masa dan tidak mengambil sebarang tindakan melanggar undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tular dalam media sosial kejadian lima individu memaksa dua anggota polis membuka but MPV di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, semalam, kerana mengesyaki kereta polis itu membawa kertas undi.

Enggan kekecohan berlaku, dua anggota polis itu membuka but kereta dan hanya ada peti ubat serta peralatan keselamatan di dalam MPV berkenaan.

Susulan itu, polis menyifatkan kejadian jam 6 petang itu sebagai kali pertama berlaku di negara ini apabila orang awam memeriksa kenderaan polis.

Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, dilaporkan sebagai berkata, dua daripada lima lelaki disyaki memeriksa MPV itu diberkas polis, hari ini.

Berita Harian X