Selasa, 16 April 2019 | 2:53pm

Dua peniaga rokok seludup di denda RM100,000

KLANG: Dua pekerja kedai runcit warga Indonesia, masing-masing didenda RM100,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 854 paket rokok pelbagai jenama bernilai RM1,668.56 yang merupakan barangan larangan import.

Majistret Muhammad 'Azzam Zainal Abidin turut memerintahkan Ridhwan, 31, dan Munzir, 22, dipenjara enam bulan sekiranya mereka gagal membayar denda itu.

Mereka yang berasal dari Aceh itu turut diperintahkan membayar duti import masing-masing berjumlah RM1,232 dan RM1,726 kepada Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Jika gagal membayar duti import itu, Ridhwan akan berdepan tambahan penjara sebulan, manakala Munzir tambahan dua bulan penjara.

Mengikut pertuduhan, Ridhwan didakwa memiliki barangan larangan import iaitu 341 paket rokok pelbagai jenama bernilai RM622.40 yang mana ia adalah dilarang pengimportannya mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Munzir pula didakwa turut melakukan kesalahan sama dengan memiliki 513 paket rokok pelbagai jenama bernilai RM1,046.16.

Perbuatan itu masing-masing dilakukan di dua kedai runcit berasingan di Taman Sri Andalas di sini, pada jam 3.50 petang dan 4 petang, Jumaat lalu.

Justeru, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan denda tidak lebih 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, Muhammad ‘Azzam dalam penghakimannya memerintahkan semua rokok itu dilucut hak untuk diserahkan kepada JKDM bagi pelupusan.

“Selain itu, kedua-dua tertuduh dirujuk kepada pihak Imigresen selepas mereka selesai menjalani hukuman penjara,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Nurafifah Abd Hamid, manakala dua tertuduh tidak diwakili peguam.

DUA pekerja kedai runcit warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara atas pertuduhan memiliki ratusan paket rokok seludup pelbagai jenama. - NSTP/Roslin Mat Tahir
DUA pekerja kedai runcit warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara atas pertuduhan memiliki ratusan paket rokok seludup pelbagai jenama. - NSTP/Roslin Mat Tahir
Berita Harian X