Rabu, 17 April 2019 | 12:29pm

Lebih 68 motosikal, 4 kereta hangus

GEORGETOWN: Percikan api atau masalah litar pintas dipercayai punca kebakaran lebih 68 motosikal di kawasan parkir di pangsapuri Taman Alor Vista di Relau, di sini, awal pagi tadi.

Kebakaran pada kira-kira jam 2.40 pagi itu turut menyebabkan empat kereta rosak akibat bahang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV), pihaknya percaya kejadian itu tidak membabitkan sebarang unsur khianat.

“Semakan mendapati kejadian itu berpunca daripada percikan api daripada bateri atau pun litar pintas. Kita tidak melihat sebarang unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Muzamer Mohd Salleh, berkata pihaknya menerima laporan melalui talian kecemasan 999 pada jam 2.52 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan tugas pemadaman api.

“Kita dapati dalam kejadian itu terdapat 40 motosikal yang diletakkan di tempat parkir pangsapuri berkenaan musnah 100 peratus dan 28 motosikal musnah 50 peratus.

“Empat kereta yang diletakkan berhampiran kawasan parkir motosikal turut terbabit dalam kebakaran itu kerana terkena bahang api,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Muzamer berkata, pihaknya turut membuka Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) kepada mangsa untuk membuat laporan selain memudahkan agensi terbabit.

Sementara itu, pemilik motosikal berkuasa tinggi, Zulfadli Hishamudin, 35, berkata beliau hanya menyedari kawasan parkir itu terbakar pada jam 3 pagi selepas terdengar bunyi bising jiran tetangga.

Beliau yang baru membeli motosikal Kawasaki Z800 tiga minggu lalu mengakui sangat sedih dengan kejadian itu.

“Rasa macam ‘putus cinta’ bila lihat motosikal saya hangus. Saya baru saja beli motosikal itu tiga minggu lalu, tak sangka akan jadi begini. Apa pun saya tunggu siasatan polis dan bomba,” katanya.

Hashim Mohd Tahir, 50, pula berkata pada awalnya beliau menyangkakan kedai makan berhampiran pangsapuri itu yang terbakar, tanpa menyedari motosikalnya turut terbabit.

“Mula-mula saya ingat kedai yang terbakar, rupanya kawasan parkir. Pada awalnya saya tidak tahu yang motosikal saya diletakkan di situ, tetapi anak yang beritahu dia letak di situ.

“Saya bagi tahu pada anak, biarkan saja motosikal itu, nyawa yang lebih penting,” katanya.

Sebahagian daripada 68 buah motosikal terbakar di Taman Alor Vista Relau, Jalan Relau, Bayan Lepas Pulau Pinang. - Ihsan pembaca
Sebahagian daripada 68 buah motosikal terbakar di Taman Alor Vista Relau, Jalan Relau, Bayan Lepas Pulau Pinang. - Ihsan pembaca
Berita Harian X