Rabu, 17 April 2019 | 2:18pm

4 sampel pelajar STAR disahkan positif Influenza A H1N1

IPOH: Empat sampel daripada 79 pelajar yang dikesan mengalami kluster demam dan batuk di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), di sini, disahkan positif Influenza A H1N1.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan, berkata Jabatan Kesihatan Perak dan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta menerima notifikasi kejadian kluster demam dan batuk membabitkan pelajar sekolah itu, 13 April lalu.

“Hingga semalam, seramai 79 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima dan seorang guru dikesan mengalami gejala berkenaan.

“Dua pelajar dimasukkan ke hospital swasta untuk rawatan dan pemantauan tetapi seorang daripadanya sudah dibenarkan keluar wad, manakala kes lain mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

“Bagaimanapun, semua kes berada dalam keadaan stabil dengan seramai 28 orang diisolasi (kuarantin). Sebanyak empat sampel daripada kes kluster ini disahkan positif Influenza A H1N1,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Beliau mengulas beberapa laporan yang tular dalam media sosial berhubung dakwaan wujud ‘penyakit misteri’ yang mengancam pelajar sekolah berkenaan.

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Aizat Rayyan dalam status dimuat naik mendakwa seramai 100 pelajar sekolah itu diserang penyakit misteri dengan sebahagian besar daripada mereka sudah diambil ibu bapa untuk dibawa pulang dan mendapatkan rawatan, serta meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

Sivanesan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta sudah mengambil tindakan kawalan bagi mencegah jangkitan penyakit itu, termasuk mengasingkan kes yang bergejala daripada pelajar sihat lain, dengan keadaan ketika ini terkawal dan orang ramai tidak perlu panik.

Katanya, bagi mencegah jangkitan, orang ramai disaran mengamalkan langkah termasuk mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala seperti demam, batuk, dan sakit tekak; berada di rumah sepanjang tempoh gejala; kurangkan pertemuan dengan rakan atau saudara-mara; dan mengamalkan kebersihan diri yang baik.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan kebanyakan pelajar terbabit menginap di bilik sama, namun mereka sudah diasingkan dan diambil sampel dengan semua kini berada dalam keadaan stabil.

Berita Harian X