Rabu, 17 April 2019 | 5:22pm
ANGGOTA PDRM mencari Muhammad Zahiruddin Putra di sekitar kolam takungan Bandar Seri Putra di kediamannya Bandar Seri Putra, Bangi. - NSTP/Yusni Ariffin

Demimu Zahir...

BANGI: Ibu bapa Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, kanak-kanak lapan tahun yang dilaporkan hilang sejak petang kelmarin terus menggiatkan usaha mencari anak bongsu mereka.

Bapa Muhammad Zahiruddin, Mohd Fauzi Abdul Ghafar, 45, berkata selepas menerima berita kehilangan anaknya malam kelmarin, dia masih tidak berhenti mencari di sekitar kawasan kediamannya.

“Saya masih belum tidur sejak kelmarin dan saya sudah mula rasa tidak larat kerana tidak cukup rehat namun saya kuatkan juga untuk terus mencari Zahir di sekitar kawasan kejiranan ini.

“Zahir boleh dikatakan anak kesayangan saya, untuk hari ini saya lihat polis dan bomba juga sudah memulakan pencarian.

“Selain itu, solat hajat memohon Zahir cepat ditemui turut dilakukan malam tadi di surau dan masjid, malah saya difahamkan sekolahnya turut membuat solat hajat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Unit K9 PDRM digunakan untuk operasi mencari Muhammad Zahiruddin Putra di kediamannya Bandar Seri Putra, Bangi. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Ibu Muhammad Zahiruddin, Sainih Sunding, 46, berkata dia keluar mencari anaknya kira-kira pada jam 7 pagi tadi.

“Saya menaiki bas berseorangan bagi mencari Zahir di sekitar Bandar Seri Putra.

“Saya juga pergi mencari di sekitar Bandar Bukit Mahkota, Bangi dan hingga ke Nilai, Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah berada di Sungai Semenyih, kira-kira 300 meter dari pangsapuri kediaman Muhammad Zahiruddin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Rosman Majid, berkata pihaknya menghantar sepasukan anggota bersama sebuah jentera bagi membantu usaha pencarian.

“Kita akan lakukan operasi mencari dan menyelamat di Sungai Semenyih, buat masa ini pasukan di lokasi sedang menunggu sebuah bot yang akan digunakan untuk pencarian di sepanjang tebing sungai,” katanya.

Unit K9 PDRM mencari Muhammad Zahiruddin Putra di kediamannya Bandar Seri Putra, Bangi. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Terdahulu, BH melaporkan polis memulakan pencarian Muhammad Zahiruddin yang dilaporkan hilang sejak petang kelmarin.

Pencarian turut dibantu dua anjing dari Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA.

Muhammad Zahiruddin dikatakan kali terakhir dilihat kira-kira jam 6.30 petang Isnin lalu sebelum ibunya menyedari kehilangannya kira-kira pada jam 7.15 malam selepas dia tidak pulang ke rumah.

Berita Harian X