Rabu, 17 April 2019 | 6:50pm
Saksi, Insp Mohd Mossadique Azni hadir pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Polis akui tiada SOP jelas kendali PATI di Wang Kelian

PUTRAJAYA: Seorang pegawai polis mengakui tiada prosedur operasi standard (SOP) yang jelas berhubung pengendalian penemuan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis.

Inspektor Mohd Mossadique Azni, dari Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, memaklumkan perkara itu ketika ditanya Pegawai Pengendali Sesi Pendengaran Awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Khairul Anuar Abd Halim, di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

“Adakah anda bersetuju tidak ada SOP jelas arahan macam mana nak kendalikan keadaan berkenaan (ketika penemuan PATI)?” tanya Khairul Anuar.

“Saya setuju,” jawab Mohd Mossadique yang mengetuai tinjauan di kem penempatan sementara di Wang Kelian pada 19 Januari 2015.

Mohd Mossadique berkata, beliau tidak mengetahui sama ada isu PATI ada dibincangkan dalam taklimat bulanan membabitkan PGA dan Cawangan Khas dan jika ada, ia kemungkinan hanya membabitkan pegawai atasannya.

Selain itu, katanya, beliau tidak mengetahui keadaan sebenar enam PATI yang ditemui di kem penempatan sementara berkenaan pada 15 Januari 2015, namun mengakui terdapat parut di badan mereka.

Katanya, beliau juga hanya tahu PATI berkenaan terdiri daripada warga Bangladesh dan Rohingya tetapi tidak jelas mengenai jumlah sebenar mereka.

Jawapan itu bagaimanapun dipersoalkan Timbalan Pengerusi RCI, Tan Sri Norian Mai, yang menyatakan Mohd Mossadique sebagai pegawai atasan sepatutnya tahu dengan jelas mengenai PATI terbabit.

Norian turut mempersoalkan mengapa rondaan berkala tidak dilakukan di kawasan berkenaan kerana jika ia dilakukan, kem penempatan sementara itu pasti ditemui lebih awal.

Sementara itu, ahli RCI, Dr Tan Seng Giaw, mempersoalkan mengapa Mohd Mossadique membawa sehingga sembilan anggota untuk membuat tinjauan dan bukan serbuan, sedangkan anggotanya sudah memberitahu terdapat khemah PATI ditemui di kawasan itu.

“Tujuan saya bawa ramai untuk tujuan keselamatan. Apabila sampai ke atas, saya nampak itu bukan khemah tapi kem. Mereka (anggota) anggap itu khemah,” katanya.

Seng Giaw juga berkata, adalah mustahil kewujudan kem itu tidak disedari lebih awal kerana polis mempunyai pasukan Cawangan Khas yang kuat.

Selain itu, Mohd Mossadique berkata beliau hanya menyerahkan barangan yang diperoleh di kem penempatan sementara itu kepada pegawai tatatertib dari batalion sama, Asisten Superintendan Azizie Mohd, 39, seminggu selepas penemuan kem berkenaan.

Antaranya termasuk buku nota bertulisan Thailand, lesen memandu Thailand, pemain cakera padat video (VCD), tiga kad sim dan satu telefon bimbit Nokia berwarna hitam.

Katanya, barang berkenaan turut diserahkan tanpa mengisi sebarang borang serahan.

Sementara itu, Azizie ketika ditanya mengapa beliau mengambil tanggungjawab menyimpan barangan berkenaan sedangkan itu bukan bidang tugasnya, beliau berkata Mohd Mossadique percaya barangan itu lebih selamat disimpan olehnya kerana beliau mempunyai almari berkunci.

Berita Harian X