Khamis, 18 April 2019 | 1:15pm
JOEKING selepas sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di Putrajaya mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis. - Foto Mohd Fadli Hamzah
JOEKING selepas sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di Putrajaya mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PATI bayar ejen RM2,000 untuk masuk Malaysia

PUTRAJAYA: Sesi Pendengaran Awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, hari ini diberitahu bahawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di kem itu perlu membayar lebih RM2,000 untuk masuk ke Malaysia.

Komandan Kompeni B Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Asisten Superintendan Joeking M Maniam Anthony, berkata seorang warga Bangladesh, antara 38 PATI yang diselamatkan pada 15 Januari 2015 dari kem berkenaan, memaklumkan beliau mengenai perkara itu.

“Mangsa yang boleh serba sedikit berbahasa Melayu dan Inggeris memberitahu, mereka (mangsa) diambil oleh ejen dengan dijanjikan mendapat pekerjaan di Malaysia. Bayar (ejen) RM2,000, (mangsa) dibawa naik kapal dan berjalan kaki masuk ke hutan sehingga sampai di kem berkenaan.

“Ada antara mereka yang diminta membayar duit lebih. Mana-mana yang bagi (bayar), dapat masuk ke Malaysia. Itu yang diberitahu (mangsa),” kata saksi kelima itu yang dipanggil memberi keterangan pada hari kedua sesi pendengaran awam berkenaan.

Joeking berkata, seramai enam PATI ditahan di kem penempatan di puncak Bukit Wang Burma itu, manakala 32 lagi ditahan ketika cuba melarikan diri ke kaki bukit.

Katanya, semua mereka dalam keadaan letih dan lapar, namun tidak ada yang cedera dan masih boleh berjalan.

“Tiada yang dihantar ke hospital. Mereka cuma minta air dan lapar. Kita belikan air mineral dan roti,” katanya.

Joeking berkata, hasil temu ramah pihak risikan, seramai 22 PATI ialah warga Bangladesh, manakala 16 lagi warga Myanmar.

Katanya, kem penempatan sementara itu dianggarkan boleh memuatkan sehingga 250 orang, namun beliau dimaklumkan oleh seorang tahanan, hanya kira-kira 50 orang yang berada di kem itu pada hari serbuan dilakukan pada 15 Januari 2015.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X