Sabtu, 20 April 2019 | 12:25pm

Bayi 18 bulan mati di rumah pengasuh

KUALA KANGSAR: Seorang bayi 18 bulan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh ketika memanjat tingkap di rumah pengasuhnya di Taman Kuala Kangsar, di sini, semalam.

Muhammad Aidil Amsyar Muhammad Hafizuddin disahkan meninggal dunia pada jam 9.40 pagi semalam ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata ibu mangsa Noorsyaqinas Rosni, 25, menghantar anaknya ke rumah pengasuh jam 7 pagi dan ketika berada di tempat kerja di Pejabat Tanah Kuala Kangsar, di sini, dia dimaklumkan anaknya dihantar ke hospital.

“Ibu mangsa mendakwa menghantar anak lelakinya itu dalam keadaan baik ke rumah pengasuh, namun pada jam 9 pagi dia didatangi ibu kepada pengasuh memberitahu anaknya berada di hospital.

“Wanita terbabit terus ke Hospital Kuala Kangsar dan pengasuh itu memberitahu bayi terjatuh selepas memanjat jeriji tingkap dalam bilik. Pengasuh turut memberitahu mata anak wanita terbabit masih terbuka ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Doktor memaklumkan mangsa meninggal dunia selepas diberi rawatan pernafasan (CPR) dan memasukkan oksigen selama satu jam bermula jam 8.40 pagi tetapi tiada tindak balas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Razali berkata, berikutan itu ibu mangsa membuat laporan polis dan hasil siasatan awal pihaknya mendapati bayi berkenaan dihantar ke rumah pengasuh sejak awal bulan ini pada hari bekerja sahaja.

“Ibu mangsa memaklumkan bahawa ketika dalam tempoh menghantar bayinya ke rumah pengasuh tiada sebarang kesan tanda kecederaan dalam bentuk fizikal pada tubuh badan mangsa.

“Siasatan mendapati ketika kejadian, hanya wanita berusia 24 tahun (pengasuh) bersama anaknya yang berusia setahun dan Muhammad Aidil Amsyar yang dijaganya,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian pengasuh yang menyedari mangsa tidak memberi tindak balas dan dalam keadaan tidak sedar apabila dipanggil, terus membawa mangsa ke hospital.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang tanda kesan jenayah yang boleh menjuruskan berlakunya jenayah dan bedah siasat yang dilakukan Pakar Forensik mendapati punca kematian adalah masalah organ dalaman.

“Jantung bayi berkenaan juga tidak kelihatan normal kerana sedikit besar tidak seperti kanak-kanak seusianya, selain bedah siasat turut tidak menemui sebarang unsur jenayah berlaku pada mangsa,” katanya.

Razali berkata, pihaknya kini masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 membabitkan kecuaian terhadap penjagaan kanak-kanak.

Berita Harian X