Ahad, 21 April 2019 | 12:51pm
SEORANG lelaki tempatan maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas melanggar tiang lampu kanan jalan dalam kemalangan di Kilometer 29 Jalan Johor Bahru - Gelang Patah - Pendas, di sini, malam tadi. - Foto Ihsan PDRM
SEORANG lelaki tempatan maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas melanggar tiang lampu kanan jalan dalam kemalangan di Kilometer 29 Jalan Johor Bahru - Gelang Patah - Pendas, di sini, malam tadi. - Foto Ihsan PDRM

Lelaki maut motosikal terbabas, langgar tiang lampu

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggang terbabas lalu melanggar tiang lampu jalan dalam nahas di Kilometer 29 Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan jam 8.30 malam, Mohamad Shafiq Sahar, 29, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala, badan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal dari arah Gelang Patah menghala ke Lima Kedai itu tiba di lokasi kejadian dan didakwa melanggar lampu isyarat merah.

“Penunggang motosikal jenis Yamaha LC terbabit kemudian melanggar tepi sebelah kiri van jenis PLACER-X dan sebuah lagi van jenis Toyota Hiace yang berada di belakang van pertama, sebelum terbabas serta melanggar tiang lampu di sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Akibat perlanggaran itu, Dzulkhairi berkata, kedua-dua pemandu van dari arah Kota Iskandar menghala ke Taman Nusantara, di sini, turut mengalami kecederaan.

Beliau berkata, pemandu lelaki van PLACER-X berusia 27 tahun cedera pada bahagian dada dan kaki, manakala pemandu lelaki van Toyota Hiace berusia 68 tahun pula patah tangan kanan serta cedera pada bahagian kaki.

“Mayat penunggang motosikal terbabit kemudian dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X