Isnin, 22 April 2019 | 4:38pm
Asmadi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, yang beliau menerima sumbangan cek bernilai RM50,000 selepas bertemu Najib pada tahun 2014. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Cek tidak masuk akaun parti, sebaliknya akaun peribadi

KUALA LUMPUR: Sumbangan cek bernilai RM50,000 daripada Datuk Seri Najib Razak dimasukkan terus ke dalam akaun Ketua UMNO Padang Serai, Kedah, Datuk Asmadi Abu Talib.

Sumbangan itu adalah bagi menjalankan program parti di kawasan itu, bagaimanapun tidak dimasukkan ke dalam akaun parti.

Asmadi, 50, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, yang beliau menerima wang itu selepas bertemu Najib pada tahun 2014.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Saifuddin Hashim Musaimi, Asmadi, yang juga seorang pesara guru, berkata pertemuan itu berlaku di Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Asmadi yang menjadi calon BN pada Pilihan Raya Unum Ke-14 (PRU-14) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Parlimen Padang Serai, berkata dalam pertemuan terbabit, beliau menceritakan kepada Najib mengenai pengalaman kali pertama menjadi Ketua Bahagian dan perancangan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Muhamad Saifuddin: Kemudian apa berlaku?

Asmadi: Selepas menceritakan perkara itu, Najib memberi semangat dan menghulurkan sumbangan untuk parti.

“Cek sumbangan itu diberikan atas nama saya berjumlah RM50,000, dan saya masukkan dalam akaun saya, Maybank cawangan Kulim Hi-Tech.

“Namun jumlah itu saya maklumkan kepada semua Ahli Jawatankuasa.

Muhamad Saifuddin: Apa yang kamu buat dengan RM50,000?

Asmadi: Saya bincang program dengan kepemimpinan bahagian membabitkan sekolah, kebajikan dan kesatuan yang memohon kepada UMNO.

Ada yang hantar surat permohonan dan ada yang tiada surat, namun, semua program kami akan selesaikan.

Sementara itu, ketika soal Muhamad Saifuddin mengapa cek itu tidak dimasukkan ke dalam akaun UMNO, Asmadi menjawab: “Ia akan membabitkan mesyuarat Agung.”

“Sekiranya membabitkan mesyuarat agung ia perlu disemak oleh juruaudit satu dan dua,” katanya yang juga saksi kesembilan dan juga Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Perumahan Negara Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Islam Kedah

Sementara itu, suasana mahkamah bertukar ceria apabila Setiausaha UMNO Johor Bahru, Abu Talib Alias, 55, yang diminta melakukan pengecaman terhadap Najib, menjawab: “Ada tu malu apa bossku.”

Jawapan spontan saksi pendakwaan ke-10 itu menyebabkan semua yang berada dalam mahkamah tertawa kecil, namun, bimbang tersilap kata, beliau kemudian memohon maaf.

Abu Talib kemudian memberitahu mahkamah beliau menerima cek berjumlah RM300,000 daripada Najib melalui Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias, pada tahun 2015.

“Saya tak ingat tarikh, tapi saya menerima panggilan telefon pada hari Jumaat daripada Allahyarham Datuk Azlin yang meminta saya untuk datang ke pejabat untuk mengambil sekeping cek.

“Saya kemudian memaklumkan perkara itu kepada Ketua UMNO Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad, sebelum diarahkan untuk mengambil cek berkenaan.

Muhamad Saifuddin: Masa itu apa berlaku?

Abu Talib: Azlin hulurkan sampul putih dan beritahu ia untuk pentadbiran UMNO Johor Bahru.

“Saya kemudian membuka cek itu dan melihat sekeping cek berjumlah RM300,000. Selepas itu saya terus ke Maybank Putrajaya dan memasukkan cek ke cawangan Maybank Taman Suria Johor Bahru, pada hari yang sama.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, mengenai aktiviti yang digunakan daripada dana berkenaan, Abu Talib menjawab: “Membantu 86 cawangan UMNO Johor Bahru.

“Aktiviti yang dilakukan termasuk sumbangan kepada fakir miskin, bencana seperti ribut dan banjir serta sambutan ketika bulan puasa,” katanya.

Berita Harian X