Selasa, 23 April 2019 | 9:08am

Operasi cegah jenayah tahan 14 pendatang tanpa izin

KOTA KINABALU: Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan polis di enam lokasi berasingan dalam Ops Bersepadu Cegah Jenayah, kelmarin.

Operasi bermula jam 4 petang itu dijalankan di kawasan dalam dan luar bangunan sebuah kompleks beli belah di Segama, selain Manggatal, Jalan Bantayan, Batu 6 dan Kampung Kitobu, Inanam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman, berkata seramai 47 orang diperiksa dan 14 individu disyaki PATI ditahan dalam operasi tujuh jam itu.

“Selepas memeriksa 47 individu, seramai 13 lelaki dan seorang wanita didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“PATI yang ditahan berusia lingkungan 14 hingga 33 tahun disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

George berkata, tumpuan lokasi operasi adalah bandar raya ini berikutan peningkatan bilangan PATI yang mengundang kegiatan jenayah.

Beliau berkata, polis mengalu-alukan maklumat orang awam berkaitan jenayah di kawasan mereka.

Operasi itu dibantu beberapa agensi iaitu Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Berita Harian X