Selasa, 23 April 2019 | 4:43pm
SEORANG bayi perempuan ditemui ditinggalkan dalam kotak di Masjid Aceh, Simpang Tiga Ara Kuda, Tasek Gelugor. - Foto Ihsan PDRM

Bayi perempuan ditemui di kaki lima masjid

TASEK GELUGOR: Seorang bayi perempuan cukup sifat, dipercayai baharu dilahirkan ditemui diletakkan di bahagian kaki lima Masjid Lama Ara Kuda, Sungai Dua, Pulau Pinang, tengah hari tadi.

Bayi terbabit ditemui seorang kanak-kanak lelaki yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada beberapa jemaah lain yang datang untuk menunaikan solat Zohor di masjid berkenaan, pada jam 1.15 tengah hari.

Salah seorang jemaah, Ahmad Abdullah, 59, berkata dia bersama jemaah lain bergegas untuk memeriksa keadaan itu dan terkejut apabila menemui bayi yang dibalut dengan kain batik dan diletakkan dalam kotak kertas.

“Kami sedang bersiap-siap untuk menunaikan solat Zohor dan tiba-tiba datang seorang kanak-kanak lelaki memberitahu terjumpa seorang bayi dalam kotak.

“Ketika itu bayi berkenaan sedang tidur dan tali pusatnya didapati sudah dipotong sebelum dia ditinggalkan di masjid ini,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Beliau berkata, penemuan bayi itu adalah kali pertama berlaku di masjid berkenaan, selaij tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan masjid berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor mengesahkan mengenai kejadian berkenaan, selain memaklumkan bayi itu dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk pemeriksaan lanjut.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X