Selasa, 23 April 2019 | 7:02pm
Shahni (tengah) membuat laporan polis di IPD Cheras dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat sekiranya benar beliau memeras ugut peniaga selain menyiasat pihak yang memfitnah dirinya. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pemimpin BERSATU buat laporan polis dakwaan peras ugut peniaga

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kuala Lumpur, Mohd Shahni Ismail menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan beliau memeras ugut peniaga di sekitar kawasan Sungai Besi, di sini.

Beliau yang juga Ketua BERSATU Bandar Tun Razak, berkata dakwaan itu dilaporkan tular menerusi beberapa laman sosial dan kumpulan WhatsApp sebuah parti politik di Parlimen Bandar Tun Razak, yang mendakwa dia memeras ugut peniaga.

“Dakwaan tidak berasas serta tiada bukti kukuh itu menyebabkan saya malu selain keluarga turut menerima aib.

“Justeru, hari ini saya mengambil keputusan membuat laporan polis terhadap dakwaan berkenaan bagi menyiasat pihak dan individu tertentu yang menyebarkan dakwaan kononnya saya memeras ugut peniaga,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hari ini.

Katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada polis untuk menyiasat sekiranya benar beliau memeras ugut peniaga selain menyiasat pihak yang memfitnah dirinya.

“Secara ikhlas dan jujur saya menafikan tuduhan itu yang kini menjadi tular di laman sosial, kalau benar dakwaan berkenaan, buatlah laporan polis dan kemukakan bukti yang ada,” katanya.

Shahni membuat laporan polis selepas menerima mesej dari seorang rakannya yang memberitahu mengenai penularan dirinya menjadi mangsa fitnah kegiatan pemerasan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat Shahni dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Berita Harian X