Rabu, 24 April 2019 | 1:12pm
ROSDI (kiri) menunjukkan tong gas petroleum cecair (LPG) yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran berjaya dirampas pada sidang media di Batalion 11 Pasukan Gerak Am Kuching - Foto L Manimaran

102 tong gas bernilai RM179,300 dirampas

KUCHING: Cubaan tiga lelaki untuk menyeludup 102 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM179,300 ke negara jiran ditumpaskan apabila mereka ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak, Superintendan Rosdi Inai, berkata ketika tangkapan dijalankan pada 2.40 petang yang turut disertai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua suspek warga tempatan berusia 48 dan 49 tahun juga cuba memberi wang sogokan RM10,000.

“Namun, usaha yang digunakan untuk melepaskan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang gagal.

“Seorang lagi suspek berusia 25 tahun iaitu warga Indonesia turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PGA Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata, serbuan dilakukan anggota Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak dan tiga pegawai SPRM atas risikan dan maklumat.

“Hasil pemeriksaan polis terhadap dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Luxio yang digunakan untuk penyeludupan itu menemui 102 tong gas dengan berat 14 kilogram setiap satu yang disusun rapi di dalam MPV terbabit.

“Kedua-dua kenderaan itu bernombor pendaftaran Kalimantan Barat dan ketiga-tiga suspek gagal menunjukkan pemilikan sah tong gas terbabit ketika diperiksa.

“Barang rampasan akan diserahkan kepada pihak berkenaan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Tangkapan kes membabitkan SPRM akan disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009,” katanya.

Berita Harian X