Rabu, 24 April 2019 | 1:54pm
BEKAS Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner (B) Md Zukir Md Isa. - Foto Mohd Fadli Hamzah

RCI Wang Kelian: Musnah khemah bukan untuk hapus bukti

PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner (B) Md Zukir Md Isa menegaskan arahan untuk memusnahkan khemah di kem penempatan sementara di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis bukan bertujuan untuk memusnahkan bukti, sebaliknya bagi memastikan tempat itu tidak diduduki oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) lain pada masa depan.

Saksi ke-13, sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, berkata arahan itu dikeluarkan beliau ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada 20 Januari 2015, sehari selepas penemuan kem penempatan sementara itu.

Katanya, pada mesyuarat itu, Komandan Kompeni B Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Asisten Superintendan Joeking M Maniam Anthony memberi taklimat berhubung penahanan 38 PATI, penemuan kem dan struktur tanah menyerupai kubur, selain menayangkan beberapa gambar di lokasi.

“Saya kemudian memberi arahan kepada Ketua Polis Daerah, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan forensik untuk menyiasat struktur tanah itu. Secara logiknya apabila kata ada struktur kubur, takkan saya diam saja sebab ini penting.

“Sebelum akhiri mesyuarat, Joeking bertanya pada saya apa perlu dibuat dengan khemah (di kem penempatan sementara). Saya kata ia hendaklah dimusnahkan supaya tidak digunakan oleh PATI pada masa depan.

“Gambar khemah itu pun sudah ada (untuk tujuan rujukan). Saya tidak terima bantahan atau cadangan lain daripada ahli mesyuarat,” katanya.

Ditanya oleh ahli RCI, Dr Tan Seng Giaw sama ada beliau ada terfikir tanggapan orang luar bahawa arahan memusnahkan kem itu adalah bagi memusnahkan bukti, Md Zukir berkata, beliau tidak terfikir mengenainya.

“Tujuan arahan saya supaya khemah itu tidak digunakan semula. Arahan saya bukan musnahkan semua.

“Saya fikir kalau khemah itu dibiarkan dan ada PATI lain masuk, saya akan dipersalahkan. Kenapa saya tidak buat apa-apa.

“Sepatutnya mereka (pasukan PGA) naik ke bukit dan periksa dahulu struktur tanah menyerupai kubur itu. Itu jangkaan saya,” katanya.

Timbalan Pengerusi RCI, Tan Sri Norian Mai, mempersoalkan mengapa wujud kenyataan bercanggah kerana berdasarkan keterangan Joeking kepada RCI sebelum ini, beliau tidak memaklumkan mengenai struktur tanah menyerupai kubur dan operasi memusnahkan kem oleh PGA pada 21 Januari 2015 dihentikan disebabkan penemuan struktur tanah itu.

“Saya pasti Joeking ada memberi taklimat mengenai struktur tanah menyerupai kubur kerana (bekas Ketua Polis Daerah Padang Besar), Superintendan Rizani (Che Ismail) mencelah mengatakan “Ada satu benda awak tertinggal” (mengenai struktur tanah). Itu saya pasti dan ahli mesyuarat boleh sahkan,” katanya.

Md Zukir berkata, beliau memaklumkan kepada Ketua Polis Perlis, Datuk Zul Aznam Haron berhubung maklumat penemuan kem dan struktur tanah menyerupai kubur serta tangkapan PATI itu selepas mesyuarat berkenaan.

Selain itu, Md Zukir turut mengakui terdapat kelemahan dari aspek koordinasi antara pasukan polis, PGA dan pihak lain di peringkat awal penemuan kem berkenaan.

Berita Harian X