Rabu, 24 April 2019 | 3:58pm

Pelacur didenda RM3,000

KOTA BHARU: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini mengenakan hukuman denda RM3,000 kepada seorang wanita yang melakukan kegiatan pelacuran pada Disember tahun lalu.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli mengenakan hukuman itu selepas Suzliyanis Mohd Masbah, 41, mengaku bersalah terhadap tuduhan terbabit.

Mengikut tuduhan, wanita itu didakwa mencari langganan atau mendesak bagi maksud persundalan atau mana-mana maksud perbuatan lucah di sebuah kediaman di Jalan Post Office Lama, di sini, jam 8.15 malam, pada 4 Disember 2018.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama satu tahun, atau denda, atau dengan kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, bertindak atas maklumat kegiatan pelacuran, polis daripada Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) membuat pemeriksaan terhadap sebuah rumah di Jalan Post Office Lama, di sini.

Polis memasuki ke dalam rumah dan mendapati tertuduh bersama seorang pelanggan dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ho Zee Xing, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Farhan Abdul Halim.

Mahkamah mengarahkan tertuduh membayar denda RM3,000 dan jika gagal akan dipenjara selama enam bulan.

Difahamkan, tertuduh membayar denda berkenaan.

Berita Harian X