Khamis, 25 April 2019 | 6:12pm
ABDUL Hamid (kiri) bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (kanan) melancarkan buku 150 Tips Menangani Jenayah pada perasmian Seminar Hentikan Penderaan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak serta pelancaran buku Pencegahan Jenayah. - Foto BERNAMA

Jho Low dipercayai bergerak bebas antara Hong Kong, Macau

KUALA LUMPUR: Ahli Perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikehendaki kerana terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dipercayai berada di Macau atau Hong Kong.

Jho Low dipercayai masih sering membuat perjalanan antara kedua-dua wilayah berkenaan selepas Malaysia membatalkan pasportnya pada 15 Jun tahun lalu sehingga menyukarkannya pergi ke negara lain.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya masih lagi berusaha mengesan Jho Low secara tidak rasmi.

“Tindakan itu dilakukan mengikut cara kepolisan dan berdasarkan maklumat perisikan, kita tahu kedudukannya.

“Selain itu, kita juga mendapatkan kerjasama pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan dan memenuhi tuntutan seperti yang digariskan dalam perjanjian Polis Antarabangsa (INTERPOL),” katanya selepas merasmikan Seminar Hentikan Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak serta Pelancaran Buku Pencegahan Jenayah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, apa yang diharapkan oleh PDRM adalah pihak negara berkenaan supaya akur dengan perjanjian yang sudah ditetapkan sebelum ini.

“Kita minta pihak yang berkenaan (negara Jho Low berada) supaya akur dengan perjanjian bahawa kita saling bantu-membantu dalam mengesan, menjejak, menangkap dan mengusir penjenayah dalam sesebuah negara itu kembali ke negara asal,” katanya.

Hamid berkata, pada masa ini PDRM masih aktif berhubung dengan Interpol dalam usaha memburu Jho Low selain mengadakan beberapa sesi perjumpaan bersama pihak berkuasa China.

Tindakan kerajaan membatalkan pasport Jho Low sebelum ini adalah mengikut peruntukan di bawah Akta Imigresen, untuk menghalang pergerakan Jho Low selepas beliau dikehendaki hadir ke Malaysia untuk disoal oleh pihak berkuasa.

Berita Harian X