Jumaat, 26 April 2019 | 7:49pm
NAJIB Razak hadir bagi menghadapi perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Keputusan Najib cabar tuduhan SRC International Isnin ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menetapkan Isnin ini bagi keputusan permohonan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan perisytiharan tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapinya adalah cacat.

Tuduhan berkenaan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang didakwa diselewengkan Najib.

Pada prosiding semalam, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu bagi keputusan selepas mendengar hujahan peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili Najib selaku pemohon dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram selaku responden.

Mohd Yusof yang juga bekas Peguam Cara Negara II dan pendakwa raya dalam kes sodomi Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tiga tuduhan kesalahan pengubahan wang haram dihadapi Najib adalah cacat dan tidak mematuhi kehendak mandatori Seksyen 91A Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Beliau berkata, tuduhan melakukan pengubahan wang haram dihadapi Najib itu tidak menunjukkan ia satu kesalahan komponen bagi tuduhan lebih berat.

Katanya, beban membuktikan kesalahan komponen itu terletak kepada pihak pendakwaan.

“Dalam kes ini, kesalahan AMLA dihadapi tidak menunjukkan kesalahan predikat dan beban membuktikan kesalahan predikat terletak pada pihak pendakwaan.

“Tuduhan membabitkan kesalahan AMLA ini tidak jelas,” katanya.

Sementara itu, Sithambaram berkata, peguam utama yang mewakili Najib dalam kes SRC International sudah bersetuju permohonan pendakwaan supaya tiga tuduhan pengubahan wang haram dibicarakan bersama kes pecah amanah dan menyalahguna kedudukan kerana membabitkan transaksi sama.

Beliau berkata, kesalahan mengikut Kanun Keseksaan, pengubahan wang haram dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tuduhan berasingan dan membabitkan perkara berbeza yang perlu dibuktikan.

“Jadi, kami menyatakan permohonan mencabar tuduhan ini adalah bersifat pramatang.

“Ia kerana semua pihak perlu mendengar keterangan dan bukti akan dikemukakan mahkamah membabitkan semua tuduhan ini,” katanya.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018 pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Sehingga kelmarin, perbicaraan kes SRC Intenational dihadapi Najib sudah memasuki hari kesembilan.

Setakat ini, pihak pendakwaan sudah memanggil 21 saksi memberikan keterangan termasuk pegawai bank, pemilik syarikat dan individu.

Berita Harian X