Ahad, 28 April 2019 | 2:33pm
KEADAAN rumah dan kereta yang rosak selepas dilanda ribut, awal pagi hari ini. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
KEADAAN rumah dan kereta yang rosak selepas dilanda ribut, awal pagi hari ini. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Ribut landa 3 kampung di Parit Buntar

PARIT BUNTAR: Sebanyak 17 rumah di tiga kampung di daerah ini mengalami kerosakan teruk selepas dilanda ribut, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, kampung terbabit adalah Kampung Sungai Baru Darat, Kampung Parit Mat Ali Tengah dan Kampung Parit Tok Hin.

Masjid As Syafiq di Sungai Baru dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Baru turut terjejas akibat kejadian berkenaan.

Seorang mangsa yang juga penduduk Kampung Parit Mat Ali, Rosnan Mat Saad, 33, berkata ketika kejadian, dia bersama abang serta ibunya sedang tidur dan tersedar selepas mendengar bunyi kuat di bahagian atas bumbung rumah.

“Kami terkejut dan tergamam apabila melihat bumbung rumah sudah diterbangkan ribut dan mendengar bunyi deruan yang sangat menakutkan.

“Ribut berkenaan begitu kuat kerana badan kami sendiri terasa terapung. Kerana begitu takut, kami tiga beranak bersandar pada dinding rumah dan berdoa kepada Allah supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung berkenaan, hari ini.

Rosnan berkata, selain bumbung rumah yang rosak teruk, tiga kereta yang diletakkan di hadapan rumahnya turut rosak termasuk satu daripadanya terbalik akibat di badai ribut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari, berkata pihaknya bersama Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri dan wakil Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar sudah meninjau lokasi berkenaan.

“Tinjauan dijalankan di lokasi kejadian mendapati kesemua rumah mengalami kerosakan teruk dan sudah memberikan bantuan awal kepada penduduk terbabit.

“Sebuah masjid iaitu Masjid As Syafiq di Sungai Baru didapati mengalami kerosakan teruk dan nilai kerosakan masjid dianggarkan kira-kira RM200,000.

“Buat sementara waktu, masjid yang boleh menampung 700 jemaah itu tidak dapat digunakan sepenuhnya, Pusat Khidmat DUN (Dewan Undangan Negeri) Kuala Kurau akan menyediakan khemah serta alatan sementara di luar kawasan masjid itu,” katanya.

Dalam pada itu Mohd Sabli berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian terbabit kepada Kerajaan Negeri termasuk Pejabat Menteri Besar Perak bagi mendapatkan bantuan segera.

“Buat masa ini pihak kami akan mengusahakan bantuan awal dari Tabung Bencana Daerah dan dalam masa sama Jabatan Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menilai jumlah kerosakan dialami Masjid As Syafiq dan SK Sungai Baru,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X