Isnin, 29 April 2019 | 2:37pm
DATUK Seri Najib Razak ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Mahkamah tolak permohonan Najib cabar tuduhan SRC International cacat

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan perisytiharan bahawa tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapinya adalah cacat.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili Najib selaku pemohon dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram selaku responden, Jumaat lalu.

Mohd Nazlan dalam penghakimannya berkata tiada kekaburan dalam semua pendakwaan yang dihadapi Najib, mahupun atas jawatan mana beliau dipertuduhkan sama ada sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan atau Penasihat Emeritus SRC International.

Beliau berkata, pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib adalah selamat dan mematuhi Seksyen 165 Kanun Acara Jenayah.

Katanya, menjadi tugas pihak pendakwaan bagi merangka pertuduhan dan untuk mahkamah ini menilainya.

“Perbicaraan sudah berjalan sembilan hari dan soal balas sudah dijalankan oleh pihak pembelaan sendiri. Tidak boleh mengatakan bahawa Najib dikelirukan atau diprejudiskan.

“Dakwaan bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh sebagai cacat adalah tanpa asas,” katanya.

Sehubungan itu, perbicaraan kes SRC yang masuk hari ke-10 diteruskan dengan memanggil saksi pendakwaan ke-21, Pengurus AmBank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi bagi menyambung keterangannya yang terhenti Khamis lalu.

Dalam permohonan notis usul yang difailkan pada 3 April lalu, Najib memohon supaya tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadapnya itu, digantung atau dibatalkan.

Beliau mengemukakan alasan bahawa pertuduhan berkenaan adalah cacat selain ia adalah satu proses penyalahgunaan mahkamah.

Tuduhan berkenaan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang didakwa diselewengkan Najib.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018 pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Berita Harian X