Khamis, 2 Mei 2019 | 9:27pm

Polis cari lelaki samseng jalanan

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita dalam satu kejadian di Jalan Dato Keramat, hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, suspek didapati menumbuk kepala dan menampar muka wanita terbabit.

Katanya, wanita itu kemudian tampil membuat laporan polis.

“Kejadian berlaku ketika pengadu yang memandu kereta jenis Honda Civic di laluan kiri Jalan Dato Keramat didatangi seorang lelaki dari arah belakang yang memaki dan mengeluarkan kata-kata kesat serta menuduh pengadu masuk simpang tanpa memberikan isyarat lampu.

“Suspek kemudian membuka topi keledarnya dan menghentak bumbung kereta pengadu, semasa mangsa keluar kereta untuk melihat kerosakan yang dialaminya, suspek menumbuk kepala dan menampar muka pengadu.

“Pengadu kemudian dibantu oleh orang awam yang berada di tempat kejadian sebelum tampil membuat laporan polis, pengadu juga sudah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azmi berkata semakan mendapati suspek memiliki lima rekod jenayah lampau dalam kes dadah dan khianat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Inspektor Sivanathan Ratham (Pegawai Penyiasat) di talian 016-590 3985, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Rakaman video oleh seorang pengguna jalan raya lain sepanjang 35 saat yang menunjukkan seorang lelaki menyerang seorang wanita itu kini viral di media sosial

Menerusi rakaman itu, lelaki itu dilihat menampar wanita terbabit menggunakan tangan kanan pada bahagian muka sebelah kiri sebelum cuba dihalang seorang pengguna jalan raya lain.

Bagaimanapun, lelaki itu terus bertindak ganas apabila sekali lagi dilihat menumbuk muka wanita itu menggunakan tangan kiri sebelum dihalang tiga lelaki lain yang berada di lokasi kejadian.

Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita dalam satu kejadian di Jalan Dato Keramat, hari ini.
Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita dalam satu kejadian di Jalan Dato Keramat, hari ini.
Berita Harian X