Jumaat, 3 Mei 2019 | 2:32pm
GAMBAR fail, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Ahmad Zahid tak dapat pasport tunai umrah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendapatkan pasportnya bagi menunaikan umrah bulan ini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam bela Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal serta Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, bagi pihak pendakwaan.

Collin Lawrence dalam penghakimannya berkata, mahkamah menolak permohonan itu selepas menimbangkan Ahmad Zahid berdepan dengan kesalahan serius.

“Walaupun ibadat itu dituntut untuk umat Islam sepanjang Ramadan, ia bukan perkara wajib untuk ditunaikan.

“Lagipun, tiada keperluan mendesak ataupun tanggungjawab daripada pemohon untuk mengerjakan umrah,” katanya.

Hakim berkata, walaupun Ahmad Zahid mengerjakan umrah sejak 30 tahun lalu, situasi dan keadaan ketika ini berbeza kerana beliau berdepan pelbagai tuduhan serius.

Terdahulu, Hisyam memberitahu mahkamah, anak guamnya sepatutnya berangkat ke Arab Saudi pada 9 Mei ini hingga 3 Jun dan akan menyerahkan kembali pasport kepada mahkamah pada 4 Jun.

Bagaimanapun, Ahmad Sazilee membantah permohonan itu atas alasan Ahmad Zahid berisiko besar untuk melarikan diri.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, mengaku tidak bersalah terhadap 47 tuduhan membabitkan 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 pengubahan wang haram berkaitan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Beliau didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans dan lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman serta sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung berkaitan pendapatan daripada kegiatan haram antara 2016 dan 2018.

Mahkamah menetapkan 18 hingga 22 November, 2 hingga 6 Disember dan 9 hingga 13 Disember sebagai tarikh perbicaraan semua kes terbabit.

Berita Harian X