Sabtu, 4 Mei 2019 | 7:53pm
ANGGOTA polis mengangkat mayat reput yang ditemui di tepi Pantai Imigresen Tanjung Rhu. - Foto Ihsan Pembaca

Mayat reput tanpa kepala, tangan dan kaki ditemui

LANGKAWI: Satu mayat reput tanpa kepala, tangan dan kaki ditemui terdampar di Pantai Imigresen Tanjung Rhu, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata indentiti dan jantina mayat itu tidak dapat dipastikan berikutan keadaannya yang reput.

Katanya, mayat itu ditemui seorang pekerja syarikat pengurusan sisa pepejal E-Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) yang melakukan kerja pembersihan pantai pada jam 2.15 petang.

“Mayat itu dibawa ke Hospital Langkawi untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini, polis tidak menerima laporan daripada mana-mana pihak berkaitan orang hilang di laut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pihaknya akan membuat semakan dengan pihak berkuasa di daerah berhampiran termasuk Perlis dan Thailand.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan diteruskan,”

Berita Harian X