Isnin, 6 Mei 2019 | 1:08pm

Sampai hati tikam ibu sendiri

TENOM: Seorang wanita parah ditikam anak perempuannya hanya kerana meminta untuk menjaga sepupunya dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Mantailang Bawah, di sini.

Mangsa berusia 48 yang parah di dada dan perut kemudian dikejarkan ke Hospital Tenom, di sini, untuk rawatan lanjut.

Kejadian berlaku pada 29 April lalu dan laporan polis dibuat kelmarin, selepas mangsa dalam keadaan baik.

Menurut sumber, ketika kejadian berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan anaknya berusia 30 tahun.

“Pertengkaran berlaku selepas mangsa meminta supaya anaknya (suspek) menjaga sepupunya, namun suspek enggan dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ibunya.

“Suspek kemudian bertindak agresif dengan menikam ibunya dua kali di bahagian badannya sebelum beredar keluar,” katanya di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun, ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan suspek ditahan polis, Sabtu lalu.

“Siasatan masih diteruskan dan suspek ditahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.

Berita Harian X