Isnin, 6 Mei 2019 | 1:54pm
ZULKIFLI Abdullah
ZULKIFLI Abdullah

Eksklusif: Lebih 400,000 terdedah dadah

DUNGUN: Lebih 400,000 individu yang berdaftar dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dikenal pasti pernah terbabit atau masih aktif menyalahgunakan dadah.

Jumlah itu termasuk dalam tiga juta keluarga yang dikenal pasti tinggal di kawasan berisiko tinggi, terdedah dengan penyalahgunaan dadah disebabkan faktor persekitaran kehidupan yang tidak kondusif.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata perangkaan itu berdasarkan Kempen Perangi Dadah Habis-Habisan dilaksanakan agensi itu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ketua komuniti sejak 2016.

Beliau berkata, berdasarkan kajian AADK mendapati, penduduk yang tinggal di kawasan penempatan nelayan, projek perumahan rakyat dan tanah rancangan FELDA, antara dikesan paling terdedah serta be-
risiko kepada penyalahgunaan dadah.

Dikategori zon merah

Katanya, setakat ini sebanyak 178 lokasi diklasifikasikan sebagai Kawasan Berisiko Tinggi (KBT), yang terdedah kepada masalah penagihan dan pengedaran dadah.

“Perak mencatatkan jumlah KBT terbanyak, iaitu 30 lokasi, diikuti Johor (23), Negeri Sembilan (16), Selangor (15), Kelantan dan Kedah masing-masing (13), Pahang (12), Pulau Piang (11), Kuala Lumpur dan Terengganu masing-masing (10), Melaka, Sabah dan Sarawak masing-masing (7) serta Perlis (4).

“Kawasan berisiko itu dikategorikan sebagai zon merah kerana ada lokasi penagihan dadah, ramai penagih serta banyak kes jenayah yang mungkin disumbangkan penagih terbabit,” katanya ketika merasmikan Program Family On Alert di Kampung Seberang Pintasan, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas laporan eksklusif BH semalam, yang mendedahkan, penagihan dadah di Kelantan semakin kritikal dengan hampir setiap kampung di negeri itu memiliki penagih dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata beliau juga tidak menolak kemungkinan negeri itu bakal menjadi ‘gedung’ dadah berdasarkan jumlah rampasan bahan terlarang itu oleh pihaknya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata Kelantan, Perak dan Johor adalah antara negeri tertinggi berdepan kancah dadah.

Sepanjang tahun lalu, katanya AADK mengesan 162,000 penagih dan kebanyakan penagih dikesan berusia antara 19 tahun hingga 39 tahun.

“Antara dadah paling popular dalam kalangan penagih ialah methamphetamine, syabu dan pil kuda,” katanya.

Beliau juga berkata, AADK sudah mengenal pasti lima kawasan yang disifatkan sebagai berisiko tinggi yang kini menunjukkan pemulihan positif selepas pelaksanaan enam program iaitu Community Empowerment, Omnipresence, Ops Cegah, Ops Bersepadu, Ikon Antidadah dan kempen melalui media.

“AADK juga menyasarkan untuk memulihkan sekurang-kurangnya 33 lagi kawasan yang disifatkan sebagai KBT sebelum hujung tahun ini dengan mempergiatkan lagi program kempen antidadah di kawasan be-risiko,” katanya.

Berita Harian X