Selasa, 7 Mei 2019 | 7:44am
SEORANG anggota TLDM maut selepas terbabas sendiri di Kilometer 415 Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS), dekat Hulu Selangor.

Anggota TLDM maut motosikal terbabas

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 415 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Lembah Beringin, Hulu Selangor, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 1.30 tengah hari, Ahmad Syahizi Rashid Minkahar, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin, berkata kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha 125Z dari arah utara menuju ke selatan.

“Ketika itu, mangsa dalam perjalanan dari tempat kerja di Lumut (Perak) menuju ke rumahnya di Melaka.

“Setiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dikatakan hilang kawalan dan terjatuh di lorong kecemasan.

“Selepas disahkan maut, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjung Malim untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X