Selasa, 7 Mei 2019 | 2:50pm

SPRM rakam percakapan Pengarah JPJ negeri, tahan seorang lagi penguat kuasa

GEORGETOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang hari ini, bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pemilik lori di negeri ini.

Ketua Pembantu Penguat kuasa Gred KP22 itu hadir ke pejabat SPRM negeri kira-kira jam 10 pagi dalam keadaan mulut berjahit akibat kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Penguat kuasa berusia 52 tahun itu sepatutnya hadir memberi keterangan bersama 21 lagi pegawai JPJ yang ditahan dalam fasa ketiga pada April lalu, namun beliau tidak berbuat demikian kerana terbabit dalam kemalangan.

Sumber berkata, SPRM akan merakam percakapan pegawai berkenaan dan dia djangka akan dibebaskan hari ini.

“Pegawai berkenaan sebelum ini dikecualikan daripada hadir memberi keterangan di pejabat

SPRM kerana masih dalam tempoh cuti sakit.

“Kita akan mengambil keterangannya sebagai suspek dan dia dijangka akan dibebaskan petang ini,” katanya.

Dalam pada itu, sumber berkata, SPRM turut memanggil Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor, untuk dirakam percakapan, semalam.

“Kita hanya merakam percakapan Mohamat sebagai saksi dan tidak bercadang memanggil beliau semula.

“Buat masa ini, kita juga tidak bercadang memanggil mana-mana bekas pengarah JPJ Pulau Pinang yang lain ,” katanya.

Sehingga kini, seramai 80 individu, termasuk 74 penguat kuasa JPJ negeri berjawatan Gred 19 hingga Gred 32 sudah menjalani rakaman percakapan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Anggota JPJ terbabit disiasat kerana dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan.

Mereka turut didakwa membocorkan maklumat operasi dijalankan JPJ, selain kumpulan lori berkenaan dilindungi menggunakan pelekat khas yang hanya dikenali penguat kuasa terbabit.

Berita Harian X