Selasa, 7 Mei 2019 | 4:50pm

Penyelam ditahan positif dadah

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang penyelam dalam satu operasi bersepadu di tiga pulau peranginan, di sini semalam selepas didapati positif dadah.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi dilancarkan serentak jam 10 pagi semalam di Pulau Manukan, Pulau Sapi dan Pulau Mamutik.

Selain PPM Wilayah 4 Sabah, operasi itu turut mendapat kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Keseluruhannya, 46 lelaki yang kebanyakannya pekerja pusat peranginan itu, termasuk penyelam dan pemandu bot pelancong berusia 20 hingga 50 tahun diperiksa.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang penyelam lelaki berusia 20 tahun positif dadah jenis syabu, yang kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, penyelam berkenaan kini ditahan di IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Berita Harian X