Rabu, 8 Mei 2019 | 9:26am
Pokok tumbang yang menimpa rumah dan kereta penduduk di Jalan Tanjung Rhu, Langkawi. - Foto ihsan APM
Pokok tumbang yang menimpa rumah dan kereta penduduk di Jalan Tanjung Rhu, Langkawi. - Foto ihsan APM

10 rumah rosak dibadai ribut

LANGKAWI: Sekurang-kurangnya 10 rumah, kereta dan motosikal penduduk rosak akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut dan hujan lebat di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira 11.30 malam itu, kawasan yang teruk terjejas ialah Kampung Ranggut, Mukim Padang Matsirat dan Jalan Tanjung Rhu, Mukim Ayer Hangat.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Bencana, Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 11.35 malam.

“Kami menerima panggilan kecemasan daripada MERS 999 menyatakan terdapat pokok tumbang menimpa bumbung rumah dan kenderaan milik penduduk akibat ribut.

“Sejurus itu, sepasukan empat anggota APM dikerahkan ke lokasi kejadian di Jalan Tanjung Rhu untuk bantuan kecemasan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pokok tumbang yang menimpa rumah dan kereta penduduk di Jalan Tanjung Rhu, Langkawi. - Foto ihsan APM
Pokok tumbang yang menimpa rumah dan kereta penduduk di Jalan Tanjung Rhu, Langkawi. - Foto ihsan APM

Azamshah berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati beberapa bumbung rumah dan tiga buah kereta serta sebuah motosikal rosak dihempap pokok tumbang.

Katanya, operasi pembersihan pokok tumbang di kawasan terbabit tamat pada jam 1.52 pagi.

Sementara itu, tinjauan mendapati anggota bomba dan orang awam turut memberikan bantuan kecemasan kepada penduduk yang ditimpa bencana sama membabitkan beberapa kampung di Padang Matsirat.

Berita Harian X