Jumaat, 10 Mei 2019 | 5:15pm
AHLI perniagaan, Datuk Seri Liow Soon Hee dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mencederakan dua anggota RELA yang sedang bertugas di sebuah tokong dua tahun lalu. - Foto Rosdan Wahid

Datuk Seri dilepas dan dibebaskan atas tuduhan pukul RELA

AMPANG: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, melepas dan membebaskan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri atas dua tuduhan mencederakan dua anggota Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang bertugas di sebuah tokong, dua tahun lalu.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Liow Soon Hee, 31, untuk menyelesaikan kes mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah dengan membayar pampasan sebanyak RM2,000 kepada setiap mangsa.

Terdahulu, Rajpal memberitahu mahkamah kedua-dua mangsa bersetuju atas permohonan tertuduh untuk menyelesaikan kes itu dengan membayar pampasan atas apa yang berlaku.

“Tertuduh menyesal atas apa yang terjadi dan ingin memohon maaf atas perbuatannya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria, memaklumkan pihaknya tiada bantahan terhadap permohonan itu.

Majistret kemudian memanggil mangsa iaitu Lee Weng Poh, 29 dan Leong Jun Jie, 23, serta bertanyakan soalan berhubung persetujuan mereka untuk menerima kompaun daripada tertuduh.

Kedua-dua mangsa memberitahu mahkamah yang mereka bersetuju menerima kompaun daripada tertuduh tanpa ada paksaan daripada mana-mana pihak,

Tertuduh kemudian menyerahkan wang kompaun dan bersalaman dengan kedua-dua mangsa.

Sebaik selesai prosiding, kedua-dua mangsa dilihat bergegas meninggalkan perkarangan mahkamah, manakala Soon Hee beredar kira-kira 10 minit kemudian dengan menaiki kenderaan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Soon Hee sebelum ini mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu tiga pertuduhan menyebabkan cedera dan satu tuduhan menyerang penjawat awam iaitu tiga anggota RELA yang sedang bertugas di sebuah tokong di Kampung Baru Ampang, di sini.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas Melvin Cheong Mun Khai, 23; Lee Weng Poh, 29, dan Leong Jun Jie, 23, di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, di sini pada 6.30 pagi, 27 Oktober 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Lelaki itu turut didakwa dengan niat menyerang penjawat awam, iaitu Melvin, yang sedang menjalankan tugasnya sebagai anggota RELA di tempat, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pada 7 September tahun lalu, Melvin menarik balik laporan polis terhadap Soon Hee selepas memaafkan tertuduh.

Berita Harian X