Isnin, 13 Mei 2019 | 3:22pm

Sofi Jikan diperintah bela diri

PETALING JAYA: Pelakon filem popular, Sofi Jikan atau nama sebenarnya, Mohamad Shoffi Jikan, 48, diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, di sini, hari ini, terhadap pertuduhan menggunakan ganja, tahun lalu.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie kes berkenaan.

“Mahkamah membuat keputusan ini selepas meneliti semua bukti, keterangan, dokumen dan hujah.

“Selepas membuat penilaian maksimum, saya memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie. Jadi, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri pada 28 Jun depan” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Haniff Hassan.

Terdahulu, tertuduh memberitahu dia akan membela diri secara bersumpah dalam kandang tertuduh.

Sementara itu, Haniff berkata, pihaknya akan mengemukakan seorang saksi iaitu Sofi Jikan sendiri untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun, katanya, jika ada saksi tambahan pihaknya akan memaklumkan kepada mahkamah.

Pada 13 Februari 2018, Sofi Jikan didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid atau THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 11.15 malam, 6 Februari lalu.

Pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

PELAKON, Sofi Jikan. - Foto Mohd Khairull Helmy Mohd Din
PELAKON, Sofi Jikan. - Foto Mohd Khairull Helmy Mohd Din
Berita Harian X