Isnin, 13 Mei 2019 | 5:05pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran melihat keadaan rumah Hoon Yoke Fah yang dipecah masuk di Kampung Baru Rahang. - Foto ihsan pembaca

Empat rumah dipecah masuk dalam tempoh 24 jam

SEREMBAN: Empat rumah di Kampung Baru Rahang, di sini, dilaporkan dipecah masuk dalam tempoh 24 jam menyebabkan penghuninya kerugian ribuan ringgit.

Difahamkan, kejadian berlaku antara kira-kira jam 2 pagi kelmarin hingga semalam ketika semua mangsa sedang tidur.

Seorang mangsa terbabit, Hoon Yoke Fah, 48, mendakwa hanya menyedari rumahnya dipecah masuk selepas bangun daripada tidur, pagi semalam, dan mendapati tingkap di bahagian dapur pecah.

“Saya terus membuat pemeriksaan sebelum mendapati beg duit, telefon bimbit dan motosikal hilang disyaki dilarikan penjenayah. Saya tidak menyedari ada suspek masuk ke dalam bilik dan mengambil beg duit.

“Sebelum ini, rumah saya pernah dipecah masuk dan tidak disangka kejadian sama akan berulang,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Wanita terbabit turut mendakwa kini trauma dan sukar untuk tidur malam kerana bimbang penjenayah akan memecah masuk rumahnya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran, menggesa polis melakukan rondaan secara kerap di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan penduduk yang rata-rata takut dan bimbang kes jenayah itu terus berlaku sekiranya tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

“Dua bulan lalu, kejadian pecah masuk turut berlaku tetapi hanya membabitkan sebuah rumah.

“Dalam kejadian terbaru ini pula, empat rumah dipecah masuk menyebabkan pelbagai barang berharga, termasuk wang tunai, barang kemas dan motosikal, dilarikan suspek. Justeru, saya berpendapat polis perlu mengambil tindakan tegas,” katanya.

Gunasekaran berkata, pihaknya akan berjumpa dengan Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak, bagi memastikan kejadian itu mendapat perhatian polis.

Berita Harian X