Selasa, 14 Mei 2019 | 3:48pm
NOR Faizah dikenakan denda RM2,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut selepas mengaku salah terhadap pertuduhan berkhalwat dengan pasangannya, Datuk Seri Riduan Maudin di sebuah chalet di Pulau Perhentian, bulan lalu. - Foto Imran Makhzan

Datuk Seri, pasangan didenda kerana khalwat

JERTIH: Seorang ahli perniagaan didenda RM2,700, manakala pasangannya didenda RM2,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut di sini, hari ini, selepas kedua-dua mereka mengaku salah atas pertuduhan khalwat di Pulau Perhentian, bulan lalu.

Datuk Seri Riduan Maudin, 40, dari Kelantan dan pasangannya, Nor Faizah Abu Bakar, 32, dari Pahang, masing-masing turut berdepan hukuman penjara masing-masing lima dan tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Kedua-dua mereka menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie Mat Ropi Busu mengenakan hukuman itu selepas Riduan yang sudah berkahwin mengaku salah terhadap pertuduhan khalwat mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 dan Nor Faizah atas pertuduhan mengikut Seksyen 32(b) enakmen sama.

Mengikut pertuduhan, Riduan didakwa melakukan khalwat bersama pasangannya itu yang masih bujang di sebuah chalet di Pulau Perhentian, di sini, kira-kira jam 5.15 pagi pada 5 April lalu.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa syariah daerah ini melakukan serbuan di sebuah bilik di chalet berkenaan dan pintu bilik yang diketuk beberapa kali dibuka selepas 10 minit oleh tertuduh lelaki.

Pemeriksaan lanjut di dalam bilik berkenaan kemudian menemui tertuduh perempuan dan soal siasat mendapati mereka bukan pasangan suami isteri atau mahram.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd Khasmizan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu dalam penghakimannya, Mat Ropi berkata, kejadian itu tidak sepatutnya dilakukan kedua-dua tertuduh yang terpelajar dan berharap tertuduh insaf serta bertaubat di atas kesalahan dilakukan.

“Kedua-dua kamu orang terpelajar yang boleh bezakan mana baik dan buruk, mana halal dan haram. Pada bulan Ramadan ini, saya harap kejadian hari ini menginsafkan kamu dan menjadikan kamu insan yang lebih baik. Buatlah taubat nasuha,” katanya.

Sebelum itu Riduan yang juga seorang pengarah syarikat dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan denda dengan alasan ia kesalahan kali pertamanya dan akan bernikah dengan Nor Faizah pada 16 Ogos depan.

Nor Faizah yang bekerja sendiri pula merayu mahkamah mengurangkan denda dan tidak menghantarnya ke pusat pemulihan atas alasan sudah insaf dan bertaubat atas kesalahan dilakukan serta masih menjaga ibunya.

Bagaimanapun, Mohd Khasmizan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat berikutan kesalahan dilakukan tertuduh adalah perbuatan yang dirancang dan lokasi kejadian juga jauh daripada orang ramai, selain tertuduh mengambil masa lama untuk membuka pintu bilik.

Berita Harian X