Rabu, 15 Mei 2019 | 2:34pm
Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman (tengah) hadir ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 bagi perbicaraan kes Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkenaan SRC International di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

Ihsan Perdana terima geran RM40 juta setahun anjur program CSR

KUALA LUMPUR: Yayasan 1Malaysia Developmet Berhad (Y1MDB) memperuntukkan dana RM20 juta setahun kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) untuk menganjurkan program tanggung jawab sosial korporat (CSR) di kawasan Melayu dimenangi UMNO atau Barisan Nasional (BN)

Peruntukan sama turut diberikan Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) kepada IPSB untuk menganjurkan program CSR di kawasan Cina dan India yang dimenangi UMNO atau BN.

Pengarah Urusan IPSB, Dr Shamsul Anwar Sulaiman memberitahu Mahkamah Tinggi, dana IPSB diperoleh daripada Y1MDB dan YR1M melalui syarikat berkonsepkan pelaksanaan CSR dan bukan berunsur keuntungan.

Saksi ke-37 pendakwaan itu berkata, sejak IPSB ditubuhkan pada 25 Julai 2011, ia menerima geran perbelanjaan tetap daripada Y1MDB sebanyak RM20 juta setahun dan jumlah sama juga diterima daripada YR1M.

Dr Shamsul Anwar berkata, geran perbelanjaan itu adalah untuk IPSB melaksanakan program CSR sahaja, bagaimanapun daripada jumlah itu RM5 juta digunakan untuk kos operasi syarikat.

“Di peringkat IPSB, saya dan pasukan akan berbincang untuk merancang aktiviti CSR, antaranya Program Khas Haji Perdana, Nadi Kasih, Insan Samudera dan Jalinan Murni.

“Ia membabitkan menghantar imam dan ketua kampung menunaikan ibadah haji, membaik pulih rumah orang miskin, membantu nelayan (membaiki bot, baiki rumah dan bantuan pukat) dan bantuan khas perkampungan orang Asli.

“Program CSR itu dirancang oleh IPSB, bagaimanapun kumpulan sasaran ditentukan Ahli Parlimen BN atau Ketua Bahagian UMNO. IPSB turut menyediakan Laporan Program Pelaksanaan setiap tahun,” katanya.

Berita Harian X