Rabu, 15 Mei 2019 | 4:33pm
Salinan paparan skrin yang didakwa mengandungi kenyataan berbaur fitnah daripada pemilik akaun di laman sosial Facebook dikenali Jalin Luin terhadap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony. - Foto ihsan Polis

Polis buru pemilik akaun Facebook didakwa fitnah menteri, parti

KOTA MARUDU: Polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook yang didakwa memfitnah Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, melalui laman sosial itu pada Isnin lalu.

Tindakan itu susulan laporan polis oleh seorang lelaki di sini, semalam, mengadu ternampak tiga kenyataan dimuat naik pemilik akaun Facebook menggunakan profil ‘Jalin Luin’, yang berbaur fitnah terhadap Peter dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, berkata berdasarkan laporan itu, pengadu memaklumkan ternampak kenyataan berkenaan ketika melayari Facebook di rumahnya di Kampung Salimandut, Tandek, pada jam 8 malam Isnin lalu.

“Siasatan mendapati pengadu tidak mengenali individu yang mengemas kini status itu dalam laman sosial Facebook, dan tiga kenyataan berkenaan dibuat antara jam 6.05 petang hingga 7.41 malam.

“Sehubungan itu, polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dakwaan kenyataan pertama menerusi Facebook itu berbunyi: ‘Tadi menerima panggilan fasal kegiatan Menteri dan Setiausaha Warisan. Amat memalukan.’

Dakwaan kenyataan kedua pula berbunyi: ‘Menteri Peter dan pengawal peribadinya membelasah seorang pegawai polis di kelab malam.’

Dakwaan kenyataan ketiga pula berbunyi: ‘Setiausaha kepada seorang Menteri Warisan telah kantoi dengan isteri orang dan telah dipukul oleh sang suami.’

Berita Harian X