Khamis, 16 Mei 2019 | 4:31pm

Polis sahkan Ketua Jururawat Hospital Serdang dibunuh

SHAH ALAM: Polis mengesahkan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamaruddin, yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu, ditemui dibunuh di sebuah kondominium yang disewa mangsa di Cyberjaya.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata mayat Siti Kharina ditemui pemilik rumah sewa berkenaan semalam, selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu.

Beliau berkata pemilik rumah itu datang untuk memeriksa rumahnya, dan polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa di kondominium itu.

“Mangsa ditemui tidak lengkap berpakaian, dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala dan siasatan awal kami mendapati ia adalah Siti Kharina yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian telah menjumpai beberapa keterangan fizikal berkaitan kes ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini.

Kata Noor Azam, polis sedang memburu seorang suspek lelaki warga Nigeria dikenali sebagai Aliwajuwom Gilbertalowonle yang berusia 30-an, dipercayai saksi penting dalam kes pembunuhan itu.

“Suspek yang diburu ialah rakan kepada seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita Nigeria yang ditahan polis awal pagi tadi.

“Ketiga-tiga suspek ini sering berhubung antara satu sama lain. Mereka ialah rakan perniagaan serta memiliki sebuah kedai menjual telefon bimbit di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin menunjukkan gambar suspek seorang individu warga Nigeria, Aliwajuwon Gilbertalowonle yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh penyelia jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Ditanya sama ada Siti Kharina ialah rakan perniagaan kepada semua suspek, Noor Azam berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

“Polis sedang menjalankan siasatan dari semua aspek. Kita sedang siasat macam mana hubungan mangsa dengan suspek dan bagaimana mereka boleh mengenali antara satu sama lain.

“Berdasarkan siasatan awal polis juga mendapati mangsa mempunyai dua rumah sewa.

“Malah, keluarga dan rakan mangsa juga tidak tahu bahawa mangsa turut menyewa rumah di Kondominium Third Avenue,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, polis menolak kemungkinan mangsa dirompak kerana semua barang berharga tidak hilang.

“Polis juga masih menunggu laporan bedah siasat termasuk kemungkinan mangsa dirogol,” katanya.

Awal pagi tadi, polis menahan seorang lelaki warga Pakistan berumur 38 tahun dan seorang wanita Nigeria berumur 35 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Kharina.

Sebelum ini, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang, dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada jam 4 petang, Rabu minggu lalu.

Mangsa dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih dengan nombor pendaftaran BEY 1361.

Kehilangan Siti Kharina hanya disedari apabila rakan serumah jururawat itu menghubungi ahli keluarganya untuk bertanya mengenai keadaannya

Siti Kharina sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun.

Suami dan semua anaknya menetap di di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Gambar suspek individu warga Nigeria, Aliwajuwon Gilbertalowonle yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh penyelia jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X