Khamis, 16 Mei 2019 | 5:55pm

Suami isteri ditahan kerana dadah

MIRI: Kegiatan pasangan suami isteri menjadikan kediaman mereka untuk aktiviti membungkus dan mengedar dadah terbongkar apabila kedua-duanya ditahan dalam satu serbuan di Taman Pelita di sini, malam tadi.

Dalam serbuan terbabit, kedua-dua suspek berusia 32 dan 36 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada jam 10.15 malam.

Ketua JSJN IPK Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif, berkata dalam serbuan itu, pihaknya menjumpai syabu seberat 42.33 gram, ganja (1.38 gram), 22 biji pil ekstasi dengan berat 7.33 gram dan serbuk ekstasi seberat 0.80 gram.

“Ketika serbuan, kedua-dua suspek berada di dalam kereta yang diletakkan di hadapan rumah dan pemeriksaan terhadap beg tangan milik suspek wanita menjumpai lapan paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik tidur rumah berkenaan menjumpai satu beg plastik lutsinar di dalamnya mengandungi 30 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu, 22 biji pil pelbagai warna disyaki pil ekstasi, satu paket plastik berisi serbuk hijau disyaki serbuk ekstasi dan dua batang rokok campuran disyaki dedaun ganja serta tembakau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah ialah RM7,690 dan kedua-dua suspek tidak mempunyai kesalahan lampau.

“Siasatan awal mendapati aktiviti pengedaran bermula Mac tahun lalu di kawasan sekitar dan pusat hiburan.

“Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap mereka juga positif syabu dan mereka dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Miri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X