Khamis, 16 Mei 2019 | 6:50pm
KETUA Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin (kanan) menunjukkan gambar individu iaitu lelaki warganegara Nigeria, Aliwajuwon Gilbertalowonle. - Foto BERNAMA

Lelaki Nigeria yang ditahan adalah individu terakhir keluar dari rumah jururawat

KUALA LUMPUR: Lelaki Nigeria yang ditahan di sebuah kafe di pusat beli belah Cheras Sentral, di sini, petang tadi, adalah individu terakhir didapati bersama mangsa.

Berdasarkan siasatan awal polis di Kondominium Third Avenue, Cyberjaya, suspek berkenaan adalah individu terakhir yang dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keluar dari kediaman mangsa.

Bagaimanapun, pada masa ini, siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas suspek, Aliwajuwom Gilbertalowonle @ Juwon, 36, oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sepang.

Dengan penangkapan suspek ketiga ini, kes pembunuhan Siti Kharina Mohd Kamarudin, berkemungkinan dikategorikan selesai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata suspek dilaporkan bertindak agresif dan cuba melepaskan diri sehingga berlaku pergelutan dengan pihak polis sebelum dia dapat ditahan.

"Pihak polis akan mendapatkan permohonan reman ke atas suspek esok," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Berita Harian X