Khamis, 16 Mei 2019 | 10:38pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

Kementerian Kesihatan ucap takziah atas kematian ketua jururawat, Siti Kharina

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Siti Kharina Mohd Kamarudin, yang ditemui mati di sebuah unit kondominium di Cyberjaya, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes kematian Siti Kharina kini menjadi siasatan polis dan proses bedah siasat sudah dilaksanakan.

“Kementerian Kesihatan yakin pihak polis sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan kes ini. Orang ramai diminta jangan membuat spekulasi supaya tidak mengganggu siasatan dan menghormati perasaan keluarga beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siti Kharina,40, yang juga Ketua Jururawat di Hospital Serdang, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu, dan mayatnya ditemui pemilik kondominium yang disewanya dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Berita Harian X