Jumaat, 17 Mei 2019 | 2:20pm
MOHD Ezani meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung selepas bermain futsal di gelanggang Arena Futsal Pengkalan Chepa, malam tadi. - Foto ihsan pembaca
MOHD Ezani meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung selepas bermain futsal di gelanggang Arena Futsal Pengkalan Chepa, malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Ajal selepas main futsal

KOTA BHARU: Seorang kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, meninggal dunia akibat serangan jantung, selepas bermain futsal di gelanggang Arena Futsal Pengkalan Chepa di sini, malam tadi.

Kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa, Mohd Ezani Abd Hamid, 49, mengalami sesak nafas sebelum rebah tidak sedarkan diri.

Sebelum itu, mangsa bermain futsal bersama rakan selepas pulang daripada solat tarawih.

Rakan mangsa, Azman Jaafar, 55, berkata ketika kejadian arwah sempat bermain futsal tidak sampai 10 minit dan kelihatan penat sebelum keluar gelanggang.

“Ketika itu, arwah sempat berbual dengan rakan-rakan sebelum mengalami sesak nafas dan rebah tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, rakannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) di lokasi kejadian.

“Arwah sangat aktif dalam arena bola sepak terutama aktiviti yang dianjurkan jabatan tempatnya berkerja dan juga seorang pengadil berwibawa.

“Saya tidak sangka kehilangan sahabat karib dan arwah amat disayangi rakan kerana sikapnya yang peramah.

“Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rambutan Rendang, di sini, jam 11.30 pagi hari ini,” katanya.

Berita Harian X