Sabtu, 18 Mei 2019 | 1:51pm
ANGGOTA polis menahan penunggang motosikal yang membuat pelbagai aksi berbahaya dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth. - Foto ihsan PDRM

5 remaja ditahan tunggang motosikal secara berbahaya

BUTTERWORTH: Lima remaja bawah umur, termasuk empat pelajar, ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kumpulan remaja ditahan dalam Op Samseng Jalanan kira-kira jam 1.50 pagi itu didapati menunggang motosikal dengan pelbagai aksi berbahaya.

“Mereka didapati menunggang secara berbahaya dan menguji kelajuan motosikal sambil melakukan aksi zig zag, bermula dari Plaza Tol Bagan Ajam menghala ke Terminal Kontena Utara Butterworth (NBCT), di sini.

“Kumpulan itu turut membuat pusingan U di Plaza Tol Bagan Ajam arah Sungai Dua, di sini, dan tindakan mereka mengundang bahaya kepada diri serta pengguna lebuh raya lain.

“Kesemua mereka adalah pesalah juvana dan ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Noorzainy menasihati ibu bapa dan penjaga supaya menitikberatkan pengawasan terhadap anak atau jagaan masing-masing bagi mengelakkan mereka terbabit kegiatan tidak sihat.

“Perkara ini akan menjejaskan reputasi dan masa depan anak muda, selain perbuatan sedemikian ialah antara punca kemalangan maut, jika tidak dibendung.

“Orang ramai yang ada maklumat berkaitan kegiatan tidak sihat atau jenayah boleh menyalurkannya kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik atau mana-mana balai berhampiran,” katanya.

Berita Harian X