Sabtu, 18 Mei 2019 | 2:10pm
Hasanuddin (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan rampasan 1.65 kilogram dadah jenis syabu dan 6,000 biji pil yaba bernilai RM232,500 dalam satu serbuan di Kampung Gaung, Pasir Mas awal pagi tadi ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini. - NSTP/Fathil Asri

Polis Kelantan rampas syabu, pil yaba bernilai RM232,500

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan empat lelaki termasuk dua beradik serta merampas dadah bernilai RM232,500 dalam serbuan di sebuah hotel di Kampung Gaung, Pasir Mas, awal pagi tadi.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas jam 3 pagi itu turut merampas 6,000 biji pil yaba dan 1.65 kilogram dipercayai dadah jenis syabu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata hasil maklumat dan risikan pihaknya membuat serbuan di sebuah bilik hotel berkenaan.

“Sebaik sampai kita mengetuk pintu sambil memperkenalkan pegawai polis, namun tidak mendapat kerjasama sebelum pintu berkenaan dipecahkan.

“Sebaik memasuki bilik berkenaan terdapat empat suspek berusia 30 hingga 34 tahun yang berada dalam bilik itu, dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu beg hitam mengandungi 6,000 pil yaba dan dadah jenis syabu.

“Ujian air kencing terhadap kesemua suspek berkenaan adalah positif dan mereka turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata, siasatan awal pihaknya mendapati bekalan terbabit diperoleh dari Thailand dan hotel berkenaan dijadikan transit sebelum bekalan itu dihantar kepada pelanggan.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita turut menyita dua motosikal dan wang tunai RM1,050 dengan nilai keseluruhan RM75,550,” katanya.

Berita Harian X