Selasa, 21 Mei 2019 | 4:20pm

Belajar buat dadah di internet

KEPALA BATAS: Belajar memproses dadah melalui internet, kemudian menjual barang larangan berkenaan untuk hidup mewah.

Itu kegiatan yang dilakukan seorang lelaki berusia 29 tahun apabila dia mampu mengaut ribuan ringgit hasil kegiatan memproses dan mengedar dadah sejak enam bulan lalu.

Bagaimanapun, perbuatannya itu tidak bertahan lama apabila sepasukan polis menyerbu rumah yang dijadikan makmal mini memproses dadah di Flat Seri Pinang, Butterworth, dekat sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata bertindak melalui hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan polis menyerbu kediaman milik bapa suspek kira-kira jam 1 pagi.

“Serbuan itu membongkar kegiatan suspek yang menjadikan kediaman bapanya sebagai makmal mini memproses dadah.

“Siasatan terhadap suspek mendapati dia yang tidak bekerja mempelajari cara menghasilkan dadah jenis pil yaba melalui internet,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.

Dalam serbuan itu juga, polis menyita sebuah kereta jenis Toyata Vios bernilai RM27,000 dan merampas pelbagai jenis dadah, antaranya 50 gram (g) syabu, serbuk disyaki dadah (49g), 51 biji pil yaba, 45 biji pil esktasi dan tiga biji pil eramin 5 bernilai RM15,000 serta pelbagai barang untuk memproses bahan larangan itu.

Noorzainy berkata, suspek menghasilkan kira-kira 200 biji pil setiap hari sebelum menjualnya dengan harga RM15 sebiji.

“Pil-pil yang dihasilkan itu untuk pasaran sekitar negeri ini.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya, polis percaya suspek seorang ahli sindiket pengedaran dadah dan kini giat mengesan rangkaiannya.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

NOORZAINY (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Berita Harian X